Firman Allah Taala yang bermaksud :
" Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah
datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan
tidak dapat (pula) mempercepatnya."
(Surah Al-A'raf ayat 34)
Ajalku pasti tapi tidak terlihat oleh pandanganku bilakan tibanya
ia. Ajal yang Allah janjikan itu takkan tertangguh sesaatpun malah
Izrail sesekali takkan alpa dalam urusannya. Sesungguhnya malaikat maut
menjalankan perintah Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak
diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang
yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan
kematian seseorang ketika tertimpa kemalangan, atau ketika diserang
sakit, maka pastinya Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian
tersebut.
Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang
kaya yang sedang hidup mewah dibuai kesenangan. Malaikat maut datang
tepat pada waktunya tanpa mengira kita sedang ketawa riang atau
mengerang kesakitan. Bila ajal telah tiba, maka kematian itu tidak akan
tertangguh walau hanya sesaat. Tidak ramai manusia yang mengaitkan
kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat
ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut senantiasa berada
di sekeliling manusia, mengenalpasti memerhatikan orang-orang yang
hayatnya sudah tamat. Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh
Abdullah bin Abbas r.a, bahwa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya
:
" Bahawa malaikat maut meperhatikan wajah manusia di
muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah
seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata
Izrail : Alangkah herannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus
oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berhura-hura
dan bergelak-tawa."
Betapa seringnya malaikat maut melihat dan menatap wajah seseorang,
iaitu sebanyak 70 kali dalam masa 24 jam. Andai kata kita manusia sedar
hakikat tersebut, nescaya kita tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi
oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat
kehadirannya, atas sebab itu manusia tidak sesekali menyedari apa yang
dilakukan oleh Malaikat Izrail atas Kuasa Allah.
Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu
bersenang-lenang dan bergelak-tawa, seolah-olah dia tidak ada masalah
yang perlu difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia
adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki secuil
bekal amalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan
dosa. Moga diri ini sentiasa beringat untuk mempertingkatkan amal dalam
bulan Ramadhan yang telah dipenghujungnya ini kerana belum pasti diri
akan ketemu Ramadhan seterusnya sedangkan ajal itu sangat pasti akan
menjemput bila tiba waktunya.